MHC buka 50 kios
   
 

 

MHC buka 50 kios

Oleh Efindi Badarudin
efindi@hmetro.com.my

MALAYSIA Herbal Corporation (MHC), anak syarikat milik penuh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MiGHT) mengunjurkan pendapatan kira-kira RM2.5 juta bagi tahun pertama operasi melalui Herbal Shoppe Kiosk yang baru dilancarkan di Ekspo Keusahawanan 2009, semalam.

Pengurus Besar Kumpulannya, Zainal Azman Abu Kasim, berkata pendapatan itu dijangka diperoleh hasil pembukaan 50 kios di seluruh negara dengan menjadikannya sebagai satu perniagaan yang menggunakan sistem francais.

Menurutnya, Herbal Shoppe Kiosk itu dikendalikan anak syarikat MHC iaitu Herbal Shoppe Marketing yang turut memberi peluang kepada usahawan yang mahu menjalankan perniagaan menjual dan memasarkan produk herba hasil keluaran pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Setiap kios dilengkapi produk dianggarkan bernilai RM50,000 dan bagi pengusaha yang berminat, MHC akan membantu mereka mendapatkan pinjaman,” katanya selepas majlis pelancaran Herbal Shoppe Kiosk yang baru dilancarkan di Ekspo Keusahawanan 2009 semalam.
Pelancarannya dilakukan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, penubuhan Herbal Shoppe Kiosk di seluruh negara bertujuan memperkenalkan konsep baru pemasaran produk herba selain menaik taraf sistem pemasarannya kerana kios itu akan ditempatkan di kebanyakan pusat beli-belah terkemuka di seluruh negara.

“Dalam pada itu, pengguna boleh melihat lebih dekat dan mengetahui mengenai produk herba keluaran pengusaha tempatan yang sebelum ini pengedarannya terhad,” katanya.

Beliau berkata, MHC juga mendapat permintaan dari pengusaha di Brunei yang meminta perniagaan herba Malaysia memasuki negara itu.

“Kami akan membuka Herbal Shoppe dan kios di negara itu kerana pengguna di negara itu mengalu-alukan kehadiran produk tempatan,” katanya.

Mengulas mengenai Herbal Shoppe, Zainal Azman berkata, sasaran membuka lima Herbal Shoppe dalam tempoh terdekat di seluruh negara hampir tercapai berikutan pembukaan cawangan baru di Alor Star, Kedah dua minggu lalu.

“Ketika ini di ibu negara kami mempunyai sebuah Herbal Shoppe iaitu di BB Plaza Bukit Bintang, manakala di Kuantan dan Johor Bahru dijangka dibuka hujung bulan ini,” katanya.